Monday, September 5, 2011

Kehilangan al-Marhum Tuan Guru Hj Hashim dirasai pelbagai lapisan masyarakat

M Faqih 
Umat Islam di negara ini kehilangan seorang tokoh ulama tersohor apabila Tuan Guru Datuk Paduka Hj Hashim b Abu Bakar, 88, kembali ke rahmatullah pada 1.10 petang 1 Syawal lalu.Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Ayah Sim terlantar sakit hampir dua tahun lalu merupakan anggota jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) dan mudir Pondok Pasir Tumbuh. 
Walau pun sibuk dengan sambutan hari raya namun tidak menghalang lebih 2,000 warga pondok, penduduk tempatan dan orang ramai dari dalam dan luar Kelantan menunaikan solat ke atas jenazahnya. Turut berangkat menunaikan solat di Masjid Pondok Pasir Tumbuh kira-kira jam 6 petang iaitu Sultan Muhammad ke-V,  Tengku Mahkota Kelantan dan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Exco kerajaan negeri.
Jenazahnya kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Islam dalam kawasan pondok terbabit.
Setiausaha PPPB, Hj Adam Abdullah berkata, Allahyarham disifatkan sebagai generasi terakhir ulama tersohor dari Malaysia yang pernah mendalami pelbagai kitab di Makkah.
“Sekarang boleh dikatakan sudah tidak ada lagi ulama yang pernah mendalami ilmu agama di Makkah secara halaqat terus dengan ulama-ulama besar di Masjidilharam.
“Pada pandangan saya boleh dikatakan tiada lagi ulama besar seperti Allahyarham Ayah Sim di negara kita yang pernah menekuni pelbagai ilmu agama di Makkah,” katanya.
Menurutnya ulama yang belajar secara berkitab di Makkah berguru dengan ulama-ulama besar dan mengetahui lebih banyak cabang ilmu.
Setiausaha Pondok Pasir Tumbuh, Ahmad Shairazi b Hj Atiqullah berkata, warga pondok dan orang ramai benar-benar merasakan suatu kehilangan besar setelah kembalinya Ayah Sim menghadap Ilahi kerana beliau bukan sahaja menjadi rujukan dalam bidang agama malah perubatan Islam termasuk ketika beliau dalam keadaan uzur.
Katanya, Allahyarham satu-satunya pengasas Pondok Pasir Tumbuh yang ada sebelum ini selepas kematian Tuan Guru Haji Mustafa dan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Abu Bakar.
“Ayah Sim mengajar di Pondok Pasir Tumboh bersama dua orang iparnya. Dan selepas kedua-duanya meninggal beliau menggantikan tempat sebagai penguasa I atau mudir sehingga sekarang.
”Allahyarham juga dilantik sebagai Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad sejak 1995,” ujarnya.
Tuan Guru Hashim dilahirkan di Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah pada 1923. Mendapat pendidikan di Darul Ulum ad-Diniah, Makkah (1936 – 1939).
Pernah juga belajar di Madrasah Irsyadiah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Abdullah Merbuk, Sungai Petani; Pondok al-Marhum Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26, Bagan Datoh, Perak; Pondok Lebai Idris Hitam, Kampung Air Hitam, Jitra dan Pondok Bunut Payong Kota Bharu.
Ayah Sim juga pernah dianugerah Tokoh Hijraturrasul 1428 Hijriah peringkat negeri Kelantan dan mendapat anugerah Datuk Paduka daripada Sultan Kelantan pada 2010.
Beliau meninggalkan lima anak. Isterinya al-Marhumah Hajah Rodhiah meninggal dunia pada Januari lalu.
Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kehilangan Ayah Sin begitu dirasai rakyat dan kerajaan negeri Kelantan kerana kehebatan ilmu yang ada padanya.
“Sepanjang hayatnya Allahyarham sering menjadi rujukan dalam pelbagai bidang berkaitan permasalahan agama. Malah beliau sering menjadi imam solat hajat yang biasa diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV semasa beliau masih sihat ketika isu-isu besar berlaku,” ujarnya.
p/s: bagi saya sendiri dapat merasa walau sekejap ketika menuntut di Pondok Pasir Tumbuh kewibawaan beliau, ketegasan beliau dalam penyampaian di samping cukup merendah diri dalam berbicara.. Semasa bersolat di tepi beliau, diri ini xsedari sehinggalah selesai bersolat... 
semoga rohnya ditempatkan dikalangan  nabi-nabi, orang2 yg benar, syuhada' dan solehin...
 "Mencorak Suasana Dengan Islam"

No comments: