Saturday, August 23, 2014

Banggi Dalam Kenangan



 Sedar tidak sedar banyak sudah percaturanNYA yang mengunjung tanpa diduga. Yang pasti percaturanNYA adalah yang terbaik buat kita.

 Dalam mengatur langkah perjalanan ini terkadang sama seperti dirancang dan banyak juga melampaui perancangan, masih teringat lagi bermula selepas tamat pengajian di peringkat "U" dulu. Bila diberi kesempatan berkhidmat di Seremban, memang naluri ini tidak  pernah terdetik berpindah ke lain, memandangkan kenalan yang ramai dan baik di sana ketika itu. Apakan daya tempoh yang Allah bagi di sana sekejap,, namun pelajaran yang dapat di sana cukup banyak.

Kenyataan Yang Datang Tanpa  Mimpi

 Dipendekkan cerita tanpa diduga diri ini ditempatkan di sebuah tempat yang terpencil di Sabah, dan saya percaya orang Sabah sendiri pun masih ramai yang belum menjejakkan kaki ke sini. Berbekalkan semangat mencari secebis pengalaman dan tekad menjunjung amanah ku gagahi.

 Didalam benak fikiran setelah berada di Banggi memang tidak terfikir berapa jangka masa untuk berada di sana, memandangkan jauh disudut hati Banggi merupakan medan amanah Allah yang perlu aku berkhidmat sepenuh tenaga, soal berapa lama di sana biarlah DIA yang aturkan.


 Di kampung Lok Tuhog yang secara spesifiknya tempat menabur sedikit bakti. Penduduknya yang ramah tidak loket menyapa jika bertemu. Suasana masyarakatnya yang baik terkadang melupakan diri ini tentang kejauhan di perantauan. Tambahan pula kesedaran masyarakat setempat tentang peri pentingnya ilmu fardu ain membuatkan diri ini cukup merasa berbaloi merantau jauh meninggalkan kampung halaman. Jadual malamku di Lok Tuhog penuh dengan aktiviti bagi menunaikan hajat masyarakat setempat. Walau letih tubuh merasa, tetapi terubat dengan perubahan dan semangat mereka yang tidak kenal erti malu belajar dan bertanya.

 Sedar tidak sedar tanpa diduga segitu singkat hari perpisahan ini mendatang. Aku di Lok Tuhog hanya sempat 2 tahun setengah jika dihitung. Tempat yang banyak mengajar diri ini hidup berdikari dan menyumbang bakti sebagai hamba Allah.

 Buat warga Lok Tuhog saya memohon jutaan kemaafan jika sepanjang keberadaan saya di sana ada menggores luka dihati dengan kata-kata dan perbuatan.


"Mencorak Suasana Dengan Islam"