Saturday, November 7, 2009

Suatu pertemuan yang ku harap berkekalan...



Sekarang sudah hampir 5 sem/2tahun lebih ku berada berjauhan dari kampung halaman. Jika dulu ketika berada di kampung aku sentiasa berteman dengannya ke sana-sini bersama tak pernah lekang, ibarat belangkas sentiasa saja bersama. Namun apabila ku melangkah ke perantauan tiada lagi dia di sisi sebagai penemanku, hari-hariku di sini bagai tiada tempat pergantungan, tempat meluah rasa hati. Walau banyak kali ku cuba membawa si dia ke sini untuk kembali berdamping namun apakan daya terdapat terlalu banyak tentangan. Ku pasrah terhadap pandangan keluarga.


Jika dahulu dialah pemudah cara di kala ku berprogram dan pergi belajar, semenjak diri ini berjauhan dengannya terasa macam kambing tiada rumput(haha). Setelah 3sem di sini cukup memeritkan aku, hidup berseorangan di perantauan, hanya sahabat-sahabat menjadi teman ketika pergi program dan kuliah. Dan yang menyedihkan lagi apabila terpaksa berkeseorangan menaiki perkhidmatan awam.
Setelah lama di sini ku berseorangan tanpa khabar berita darinya menyebabkan ku terpaksa membuat satu keputusan yang cukup berat bagi ku pikul iaitu memcari penggantinya di sisiku. Ku tak tahu adakah betul tindakan ku ini, aku bimbang di tuduh tidak setia kepada satu, mempermainkan perasaan dan apatah lagi jika di beri gelaran 'play boy'. Sungguh pedih hati ini jika di beri tohmahan sebegini. Hanya diri yang menanggung saja yang tahu betapa pedihnya bagai di cincang daging ini. Apatah lagi jika yang memberi gelaran tersebut di kalangan mereka yang aku harapkan menyokongku dari belakang. Kata pepatah: "harapkan pagar tapi pagar makan padi", itu sajalah yang aku dapat gambarkan kepada sahabat-sahabat yang menentangku dari belakang, betullah kata-kata: "berhati-hatilah sekali dengan orang yang kamu tak kenal tapi berhati-hatilah seribu kali terhadap orang yang kamu kenal".

Setelah 4sem di sini aku telah bertekad biar seribu tohmahan yang datang, walau di hujani pelbagai tanda tanya semua pihak, ku tetap dengan keputusan ini. Sudah menjadi kebiasaanku jika ku membuat suatu keputusan akan ku kotakan walau ramai tak setuju. Masihku ingat lagi pesanan bapa saudara ku dalam membuat keputusan, dia selalu menyebut dari kata-kata Saidina Ali (K.W) kepada panglima perangnya: " jangan kamu tergopoh-gapah dalam membuat suatu keputusan, tetapi jika kamu telah membuat keputusan maka kamu kena tempuhi, jika kamu undur kamu akan di(hukum) bunuh." Kata-kata inilah sentiasa menjadi inspirasiku dalam membuat segala keputusan.

Bagiku jika di fikirkan kembali ini seolah-olah suatu cerita lawak yang pernah tercatat dalam diari hidupku, ingin mengikat tetapi tiada benda untuk di ikat, ingin memetik bunga tapi bunganya tiada. Namun ku tetap tekadkan hati, bagiku di mana ada daya di situ ada jalan. Ku percaya jika citaku ini benar dan mendapat redhaNYA semua urusan menjadi mudah. Kita merancang tapi yang menentukan semuanya dari Allah. Bab kata pepatah arab "man jada wajada, wa man kasala fasyala." (siapa yang berusaha dia berjaya, dan siapa yang malas akan terlepas).

Langkah pertamaku

"Di dalam merancang suatu percaturan kita tidak hanya melihat kepada kesan masa pendek sahaja, namun kita perlu menilai dari segenak aspek, dari sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar perkara". Kata-kata ini banyak bermain dalam fikiranku dalam mengatur langkah seterusnya. Langkahku pertama dengan menyampaikan hasrat di hati kepada beberapa kenalan terdekat dan tak di lupakan juga pandangan ahli keluarga khusus kakak dan abang iparku yang tinggal berdekatan dengan ku di rantauan ini supaya dapat mencari calon terbaik untukku. Pada awalnya ku tak menaruh harapan yang tinggi untuk masa terdekat, biarlah semuanya mengalir seperti air di hilir sungai mengikut arusnya, tidak nampak alirannya tapi mengalir. Keberanian meluahkan isi hati bermakna kesedian untuk bersama, apa-apa pun jika dah diluah kepada umum maka ku kena menanggungnya. Ku menunggu.
.
Khabaran yang tak di duga


Sepoi-sepoi angin pagi hujung minggu di taman rumah murah nilai yang terkadang dihujani bunyi deruman enjin menyebabkan ku dilamun angan yang tiada berkesudahan. Deringan telefon tangan ku membangunkan ku dari lamunan, lantas ku capai telefon tangan yang kian usang. Apa yang ku lihat nama sahabat ku M yang terpapar di skrin. M merupakan seorang kenalan lama ku dari sekolah menengah sehingga sekarang masih bersama. Ku kuatkan diri menjawab panggilan, apa yang mengejutkan jantung ini apabila M menceritakan ada calon sesuai untuk diri ini, M juga menceritakan pertemuannya dengan senior lama kami di UM yang banyak membantu. Senior lama kami inilah yang sangat arif berkaitan dengan si 'dia'.

Ku memberanikan diri bertanya dengan senior lama ku itu, ternyata jawapannya yang menyatakan aku adalah calon paling sesuai dengan si 'dia'. M juga pernah berkata sedemikian kepadaku, malahan pula M pernah bertemu dengan si 'dia'. Hal ini menyebabkan hati ku semakin berbunga dalam menanti hari yang cukup bahagia nan hadir. Hari pertemuan kami sudah di tetapkan 3hari lagi, UKM menjadi medan pertemuan.

Pertembungan yang tak diduga.

Di dalam ku menghitung hari pertemuan, satu berita yang menyebabkan ku buntu memikirkannya. Adik kepada abang ipar ku juga memberitahu ada calon yang pada pandangannya juga sesuai dengan ku. Apa yang memeningkan kepala ku apabila dia seolah-olah mahu jawapan segera dari ku. 

Pertemuan ku terus diatur, keesokan harinya ku terus mengatur langkah ke tempat yang di janjikan. Niat di hati hanyalah memenuhi permintaan adik ipar kakakku, sebab aku dah berjanji dengan senior lama ku sebelum ini. Ku tak mahu di gelar orang yang tidak beramanah atau mempunyai sifat munafik, wal 'iyazu billah. 

Pertemuan ini cukup lucu jika di kenang, hanya sekadar bertemu di bawah jambatan lebuh raya dalam beberapa minit sahaja, sekadar memandang dari jauh, tak lebih dari tu. Pada pandangan awal ku, memang calon ini tak memenuhi kreatiria pilihan hati ku. Luarannya biasa saja tiada apa menarik, sedikit berpipi merah dan bertudung hitam dan penampilan nampak macam orang kebiasaan saja. Namun mengikut walinya, si empunya badan seorang yang baik jika dibandingan dengan kebanyakan. 

Sebelum ku sempat memberi sebarang reaksi, walinya menasihatkanku supaya banyakkan berfikir dahulu. Mungkin ku rasa dia seolah-olah faham yang jawapan yang akan aku bagikan ketika itu. Sebelum kami berpisah walinya sempat menyebut maskawinnya dan juga siap dengan hantaran lagi, maskahwin dan hantarannya pun tidakklah terlalu mahal, tak sampai RM1000 pun. Ku pening.. Mafhum hadith: sebaik-baik wanita adalah yang sedikit maharnya...

Janji temuku di UKM.

Setelah sampai hari yang dijanjikan, aku bergegas bersama seorang kenalan dan si 'dia' bersama wali dan seorang saudaranya. Tepat pukul 3petang di belakang masjid UKM ku sampai di sana. Seperti yang dijanjikan sudah terhidang di depan mata, si 'dia' berjubah hitam serta berpurdah dan yang menampilkan diri penuh dengan lemah lembutnya.
Bergetar hati ini bila si 'dia' menampakkan wajahnya. Bagai kilat menyambar diri ini, kelu tak terkata. Selepas itu bermulalah sedikit sesi ta'aruf di antara kami. Ku dapat simpulkan si dia luarannya memang memenuhi kehendakku tapi setelah kenalanku membuat sedikit interview ternyata dia katakan tak sesuai denganku. Kenalanku nyatakan dia memang baik dan tiada kekurangan pun, tapi tak semua yang baik itu sesuai dengan kita atau dengan bahasa mudahnya ukurlah baju di badan sendiri. Semakin pening kepala ini memikirkan antara persahabatan atau kehidupan ku selepas ini. Setelah selesai sesi ta'aruf kami, aku menyatakan kepada walinya supaya memberikan tempoh kepada ku untuk memikirkannya.

Jawapan Istikharahku

"Mimpi itu terbahagi kepada tiga: 1) mimpi dari malaikat(mimpi benar). 2) mimpi dari syaitan(mimpi karut). 3) mimpi dari perasaan sendiri. Ramai orang kita salah menafsirkan bahawa jawapan setiap istikharah itu datangnya melalui mimpi. Jika di lihat kepada pembahagian mimpi ini, sudah tentu seseorang akan bermimpi kepada apa yang lebih berkenan antara dua benda yang dia pilih." Teringat aku pada kata-kata Dr. Karim Toure ini yang masih segar dalam ingatan, Dr. Karim ialah seorang pensyarah subjek Ulum Quran pada sem 3 ku. Beliau banyak memberi kata-kata hikmah yang berguna untuk pelajarnya tanpa mengerti erti putus asa menyebar agama Islam di muka bumi ini. Mengikut dia lagi jawapan kepada istikharah itu melalui gerak hati atau kecenderungan yang terbit.

Buntu juga kepala ini memikirkan antara dua pilihan yang keduanya ada kelebihan tersendiri. Antara yang ku bertemu di UKM namanya K, berjubah hitam yang mempunyai suara merdu atau yang ku temui di tepi lebuh raya namanya S berpipi merah dan suara lagu bayati. Hampir beberapa hari benda ni bermain di benak fikiran ku. Setelah ku berdoa kepadaNYA dan bertanya pandangan sahabat-sahabat terdekat, ku telah putuskan S menjadi pilihan ku. Biar pun luaran tak canti namun bagiku dalaman segalanya. Ku rasa pilihan ini adalah petunjuk dariNYA, jika di ikutkan perasaan memang K memenuhi semua kehendakku. Namun semakin lama ku fikir dan renung, setiap kali nama S di sebut ku merasa tenang sekali. Ku harapkan inilah jawapannya dari ILAHI. Ku harap semua mengerti.

Pertemuan kedua

Tanpa sempat ku luahkan kepada wali S, adik ipar kakak ku dah menghubungiku menanyakan apa jawapan ku. Mungkin inilah yang di katakan jodoh, betullah kata orang jodoh, ajal dan rezeki di tangan ALLAH. Jika dah itu di tetapkan untuk diri ini walau kita lari darinya, dia tetap datang dan begitu jugalah jika sesuatu bukan di tulis untuk kita, walau di kejar dan di paksa dia tetap bukan milik kita. Setelah aku memberikan kata putus untuk adik ipar kakak ku, dia terus mengaturkan hari pertemuan kedua bagi membincangkan secara serius. Kalau dulu pertemuan untuk mengenal jadi kali ini pertemuan untuk mengikat.

Pertemuan kali ini ku putuskan biarlah hanya di saksikan oleh pihak sana saja, ku fikif biarlah benda menjadi rahsia untuk sementara waktu daripada di ketahui keluargaku. Aku hanya berseorangan pergi ke rumah si dia. Ketika melangkah masuk ke tempat yang di janjikan, ternyata semua orang sudah bersedia. Tanpa membuang masa, aku terus bersuara meluahkan hasrat di hati ayng sudah lama terpendam, ku fikir suara hatiku ini bagaikan bom jangka yang menunggu waktu untuk meletup, dan hari inilah masanya untuk meletup. Pada peringkat awalnya aku menceritakan sedikit kehendak hatiku selepas itu di balas oleh walinya dan dirinya sendiri. Yang menariknya slot ini, kedua-dua pihak seolah-olah sudah berjanji, apa yang di bincang semuanya menemui jalan sepakat. Ku lega..

Tempoh khitbahku

Setelah majlis itu selesai, kata sepakat di buat. Tali persetujuan di patri, hanya menunggu hari ijab kabul sahaja. Dalam tempoh inilah syariat membenarkan untuk berta'aruf mengikut telunjuk syara'. Begitu cantiknya islam, sebelum kahwin di berikan luang untuk saling mengenali tapi orang sekarang tak melihat semua ini, sudah kenal sepenuhnya baru nak bertunang, ibu-bapa langsung di ketepikan(terceramah pulak).

Dalam tempoh inilah baru ku mengkhabarkan kepada ibundaku tercinta. Pada awalnya aku bimbang jika ibuku tidak merestui keputusan yang ku buat seorang diri ini, ku juga bimbang jika di katakan mengenepikan pandangan keluarga. Suatu berita mengejutkan aku apabila ibuku menyatakan semua perjalanan ku menyunting bunga itu semuanya dia ketahui melalui kakak ku. Malu juga jika di fikirkan, tapi inilah ibuku walau pada zahirnya jauh jasadku darinya namun pengetahuannya tentangku bagai masih di depannya. Itulah ibuku tersayang...

Dalam tempoh ini ku harapkan dapat mengenali lebih dekat lagi si dia, walau hanya "berbalas mesej" dan sedikit pertayaan kepada orang terdekat dengannya. Tidak sampai seminggu ku putuskan meneruskan hubungan kami secara serius. S pun bagi respon fositif saja dengan keputusan ku ini, jadi buat apa aku tunggu lagi. Lauk sudah terhidang, nasi pun dah masak hanya tunggu tuan rumah yang ajak.

Keputusan hidup bersama

Setelah kata di lafaz, langkah di susun dan keputusan di putus, tiada lagi istilah berundur.
Aku memahamiMu dengan satu teguraN,
Aku mengenaliMu melalui satu pertemuaN,
Aku mengharapkanMU melalui satu harapaN,
Engkaulah RABBI tuhan sekalian alam...

Lafaz ini sajalah yang dapat ku luahkan kepadaMu Ya ALLAH kerana mempermudahkan semua urusan ini.
Setelah ijab kabul di lafazkan secara rasminya, si dia yang dulunya tiada langsung dalam diri ini perasaan, akhirnya sampai ke tahap ini. Ini lah di katakan takdir, semua perjalanan di atur olehNYA. Ku bersyukur..

Kahwin gantung
Perjalanan hidup kami bersama pada awalnya cukup mencabar, setiap kali aku ingin melangkah memasuki kampus 'pak guard' mesti milihat kami seolah-olah harimau melihat mangsanya. Hal ini menyebabkan ku hidup dalam ketakutan dalam dunia sendiri, tak kurang juga adakalanya 'pak guard' menahan ku bertanyakan status kami, pelbagai teknik tauriah yang ku gunakan. Tapi inilah kenangan manis kami, kalau di kenangkan kembali kepedihan bersama inilah menyebabkan kami akrab dan saling memahami. Seorang isteri yang baik merupakan pembakar semangat kepada suami dan pengecas tenaga di kala suami balik dari medan perjuangan, dan bukannya menjadi pemadam kepada api perjuangan suami. Dan inilah yang ku harapkan dari teman ku nanti. Ku bimbang jika diri ini letih berjuang di luar namun tiada bahan bakar untuk menambah kekentalan jiwa ku ini.

Panggilan penyelesaian

Di dalam kesedihan yang mengganggu jiwa ini, ku hanya berserah kepada ILAHI. Kerana daripadaNYA lah segala cubaan ke atas diri ini dan dariNYA jugalah ada jalan penyelesaiannya. Ayat yang berbunyi (la yukallifullahu illa 'usaha) maksudnya: Dia tidak akan memberi sesutu melainkan seseorang itu mampu menanggungnya. Ayat ini sahajalah sebagai penguat motivasi diriku dalam menempuh badai dunia yang tak pernah berkesudahan.

Di pagi hari Khamis minggu pertama dalam sem 5 ini, seperti biasa diriku berada di kampus bagi menghadiri kelas tuturial. Pada sem ini hari Khamis ibarat sufi yang tidak meninggalkan tempat suluknya, apa tidaknya dari pukul 8pagi hingga 6 petang kelas tuturial. 

Setelah seslesai kelas hadith hukum Ust Zulhilmi aku mendapat panggilan dari adik ipar kakak ku yang menyatakan dia ingin selesaikan masalah berkaitan dokumen-dokumen ikatan kami itu hari itu juga, sebab wali ku mempunyai seorang kenalan yang dapat membantu. Pada awalnya ku cuba menolak kerana kalau di ikutkan jadual pada pukul 10 pagi itu ada tutorial Tafsir tapi Dr Adnan menyuruh kami ke perpustakaan. 

Ku buntu nak selesaikan masalah ku atau mencari masalah pula dengan ponteng kelas tutorial Dr Adnan. Setelah di fikir dan di renung ku putuskan untuk melangkah pergi selesaikan masalah yang sudah lama melandaku. Tempat di janjikan untuk pertemuan ini berlangsung di KL Sentral, tanpa pengetahuan seorang sahabat pun aku terus melunsur ke KTM Nilai dan terus menaiki komuter ke KL Sentral. Pukul 2 aku kena kembali ke kampus bagi memasuki kelas tutorial Tarannum Ust Tarmizi. 

Lebih kurang pukul 12 tengah hari ku sampai di KL Sentral dan terus bertemu dengan waliku, ku terus menghulurkan semua dokumen berkaitan. Sebelum berpisah dia sempat meminta maaf terhadap semua yang menimpa ini. Nasib baik petang itu aku sempat menghadiri kelas tuturial Ust Tarmizi. Bagiku biar seribu kesibukan melanda, namun jadual belajar mesti dipatuhi. "Belajar first, perjuangan dan peribadi bukan second." Inilah trademark ku...

Suatu kesudahan

Setiap masalah yang datang untuk di selesaikan bukannya untuk di elak, semakin kita lari dari masalah semakin banyak masalah yang datang. Kesenangan yang datang dengan mudah kurang ertinya berbanding kesenangan yang datang selepas kesusahan meredahnya. Ini sahajalah yang dapat aku luahkan apabila mendapat berita semua dokumen berkaitan motorku dah selesai, geran motor ku sudah di tukar kepada nama ku, roadtax dah hidup kembali yang lebih mengembirakan lagi stiker motor USIM pun aku dah dapat. Tiada lagi ketakutan nak memasuki kampus dan meluncur di jalan raya.. Dan ku harapkan hubungan ini terus berkekalan.. Berakhir sudah cerita ku " suatu pertemuan yang ku harap berkekalan."

Api cinta yang membara merupakan satu pupukan rasa rindu yang amat hebat
terhadap ILAHI RABBI,
setiap detik berdenyut,
setiap saat masa berlalu,
walau di mana saja berada, entah kemana jua perginya,
pasti cinta itulah yang akan berlagu dalam tiupan rindu sang pencinta,
dalam nalurinya,
dalam aklinya
kerinduan itu bagaikan tak pernah padam, apatah lagi hanya tinggal abu
Itulah terjahan yang terus-menerus kedalam hati-hati mereka yang menyedari
hakikat sebenar erti sebuah CINTA..
Cinta ilahi itulah merupakan nikmat kelazatan dan hikmat kesempurnaan
insan yang sebenar..
("Motor ku kat kampung")



(S: Motor ku di Nilai Yamaha SS2)
(K: Kriss)



Ku harap semua terhibur dengan coretan hati ku ini. sebarang komen amat di harapkan.. Sekadar luahan menghilangkan tension di final exam... tiada kena mengena dengan yang telah hidup atau yang masih mati... barakallahufikum

Cinta oh cinta!!!


Dengar je orang bicara pasal cinta sudah cukup menggegarkan naluri seorang yang berdarah sang teruna... Tapi disini ana tertarik dengan dengan satu kata-kata buat renungan bersama berkaitan cinta.

"Cinta akan membawa sang muslim kepada ma'rifatullah, kerana cinta menjadi pembentung kepada hati dan akal selagi bekerjasama, jika aqal mengisi dan mencerna maka 'hati dan jiwa' mengisbat dan mengimani. maka percampuran antara ilmu dan iman akan membentuk peribadi sang muslim yang sebenar, jasad tetap di bumi manakala hati jauh menerawang ke alam keTuhanan, pasti akan terbukalah segala rahsia-rahsia kerajaanNYA, lantas akan bertambahlah helwah dalam setiap ubudiyah yang dilakukan, maka ketika itu tadbir ilahiyAh akan sentiasa warid kesegenap aspek ahwal sang muslim, hasil dari kecintaannya..."

Cinta...Cinta..... cinta... cinta... cinta...

Sunday, November 1, 2009

Bicara???



Jangan bicara soal kemenangaaan
jika tiada
kekuatan..

Jangan bicara soal kekuatan
jika tiada
kesatuan..

Jangan bicara soal kesatuan
jika tiada
ikatan..

Jangan bicara soal ikatan
jika tiada
tautan..

Jangan bicara soal tautan
jika tiada kecintaan...

Kemantapan ukhwah tonggak Perjuangan...
"di edit dari ucapan liqa tanqiah d masjid B.Benar"


Perjalananku


Perjalananku..

Biarlah zahirku nampak tiada terikat,
namun hatiku tetap bertambat..

Perjalananku..

Biarlah perancanganku tiada terpancar,
namun ku harap hasilnya terpancar..

Perjalananku..

Biarlah datangku tiada di undang,
namun ku harap pulangku memberi kesan..

Perjalananku..

Biarlah namaku tiada di agung,
namun ku harap pandanganku di renung..

Perjalananku..

Biarlah langkahku tiada disedari,
namun ku impikan tinggalanku di amati..

Perjalananku..

Biarlah hidupku ini hanya untuk satu tujuan,
semoga islam di julang..

Ya Allah tetapkanlah hatiku ini diatas agamaMu dan Taat kepadaMu...
dan tetapkanlah kakiku dalam perjuangan menegakkan agamaMu.... Amin