Sunday, January 1, 2012

Tahun 2011, Tahun Bertatih di Dunia Realiti

(Bersama Sidi Malik, sheikh Tarikat Tijani Senegal)

        Selamat jua menghabiskan tahun 2011 ini, namun yang pasti tahun 2012 yang datang ini merupakan tahun yang pastinya lebih mencabar dalam realiti kehidupan ini. Di ruangan ini, saya cuba menyingkap kembali beberapa sketsa kehidupan diri ini dalam melayari tahun 2011 yang lepas. Memandangkan tahun 2011 lepas merupakan tahun bergelar seorang graduan. Bagi diri ini, pada tahun 2011 lepas ibarat layang yang mencari angin. Semasa ada angin boleh berterbangan indah, namun sebaliknya ketika angin tidak bertiup, hanya keyakinan kepadaNYA sahaja menjadi penawar. Di kesempatan ini saya ingin mencoret beberapa pecahan penting bagi tahun ini bermula bulan Januari sehingga Disember. Sekadar coretan buat diri ini, disamping perkongsian buat pembaca. Jauh sekali di sudut hati diharap tulisan ini tidak terbit perasaan mazmumah (wal iyazubillah.

Januari-April

        Alhamdulillah pada tempoh ini saya telah diberi peluang oleh Allah sempat berkhidmat di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan cawangan Putrajaya (JAWI) sebagai pelajar praktikal. Dalam tempoh sekejap ini banyak pengalaman dan ilmu yang baru dapat diri ini belajar. Dengan keramahan staffnya dan sikap suka membantu, diri ini terasa selesa bekerja disamping menimba pengalaman yang tidak pernah dilalui sebelum ini. 
(Bersama Staff JAWI caw Putrajya)

       Di sini saya dibahagi tugasan pada setiap unit yang berada di JAWI Caw Putrajaya. Bermula Unit Pengurusan Khariah, Unit Dakwah, Unit Pembangunan Keluarga atau Perkahwinan, Unit Penguatkuasa, Unit Pengurusan dan Unit Pendakwaan (minta maaf jika silap). Setiap unit yang diri ini lalui terdapat kenangan dan pengalaman baru yang tidak pernah diri ini lalui.

        Yang banyak memberi kesan pada diri ini dalam tempoh ini ialah dengan diberi beberapa kepercayaan memberi kaunseling rumah tangga, memberi sedikit pengisian buat golongan yang tertangkap di malam hari berdua-duan dan berkenalan dengan golongan saudara baru. Di samping pernah turut bersama memandikan jenazah di bilik mayat Hospital Putrajaya. Itulah serba sedikit pengalaman berada di JAWI Putrajaya.

Mei-Oktober

         Bermula bulan Mei 2011, maka bermulalah diri ini bukan lagi berstatus pelajar. Dalam tempoh ini sempat berkhidmat sebagai Guru penyelia KAFA Ummu Aiman cawangan Senawang, N.S. Cukup mencabar rasanya, seorang yang baru keluar ke alam reality ini telah diberi tanggungjawab sebegini. Pelbagai pengalaman pahit dan manis berkhidmat. Pengalaman berdepan dengan pelajar, ibu-bapa dan guru-guru dibawah pengawasan, di samping urusan pejabat yang terpaksa diuruskan.
 (Bersama anak didik KAFA Ummu Aiman, caw Senawang)

        Pernah ditegur dan dikomen perkhidmatan oleh ibu-bapa penjaga, kadang-kadang membuatkan diri ini resah memikirkan jalan penyelesaian. Namun semua itu terasa manis bila dapat diselesaikan. Peristiwa yang tidak dapat dilupakan apabila seorang ibu pelajar datang menanyakan perkembangan anaknya, disamping menyatakan tidak berpuas hati. Tercabar juga diri ini, satu persoalan pelik yang diaju kepada diri ini iaitu: “Ust kenapa anak saya tidak pandai ‘mengeja’ nak baca Quran?” “tapi dia boleh baca Quran”.(fikirlah ek, apa sepatutnya jawab).   

        Dalam tempoh ini jualah dapat merasa bekerja sampai tidak kenal erti letih. Apa tidaknya, dari jam 8 pagi mengajar hingga ke pukul 12 malam mengajar. Bermula 8-12 tgahhari kelas KAFA pagi, pukul 3-6petang di sambung 8.30-10.00 malam kelas mengaji Quran remaja dan 10.00-12.00 malam mengajar pelajar IPT di rumah. Fuhh!! Letih, tapi terasa terubat bila melihat perkembangan anak didik.

November- Disember

        Alhamdulillah telah dilantik berkhidmat sebagai Pembantu penyelidik di Akademi Permata Insan USIM bagi menyiapkan modul pintar Quran dan Sunnah yang akan digunakan bagi pembelajaran kanak-kanak Permata Insan. Selama 2bulan ini bagi diri ini seolah-olah mengembalikan kembali semangat mengkaji ilmu Allah yang luas ini. 

        Dalam tempoh singkat 2 bulan dapat menyiapkan tajuk-tajuk yang di amanahkan. Dengan tunjuk ajar pensyarah-pensyarah yang dulunya pernah mengajar diri ini dalam kuliah, tetapi kehadiran diri ini kali ini ibarat seperti kawan yang rapat pula dengan pensyarah-pensyarah  dalam memberi tunjuk ajar menyiapkan modul ini.

Kesimpulan

        Cukuplah rasanya sedikit coretan perjalanan diri ini dalam tahun 2011, bagi saya tahun ini adalah tahun bertatih mencari identiti sendiri di dunia realiti. Jika di alam kampus kita bebas berbicara melontar idea tetapi di medan reality ini kita bukan lagi seorang yang sekadar pandai melontar buah fikiran tetapi kita jualah pelaksana segala lontaran fikiran itu sendiri. Dan yang terakhirnya diharap kepada yang membaca makalah daif ini dapat mendoakan diri ini dibukakan rezeki olehNYA kepada diri ini bagi meneruskan lagi ‘survival’ diri ini. Buat masa ini belum tahu lagi apa yang akan diri ini lakukan bulan januari ini, memandangkan baru sahaja tamat kontrak. Hanya menunggu percaturan dariNYA dan pengharapan dariNYA..




Beberapa tarikh keramat bagi tahun 2011:
    1. 24 Julai 2011: Majlis penutup Imam Muda Qaryah JAWI
    2. 5 Oktober2011: Lulus Test lesen Kereta
            3. 24 November 2011: Abang Ngah(Akram) Kahwin
    4. 3 Disember 2011: Konvokesyen ke-9 USIM.

  Dan banyak lagi tarikh-tarikh penting tidak tercatat dalam ruangan ini.


"Mencorak Suasana Dengan ISlam"

"