Monday, March 7, 2011

Doa Solat Jenazah Untuk Janin


 Sengaja ana letakkan doa ini disini, memandangkan terlibat untuk menguruskan jenazah janin yang ditemui ditempat yang tak sepatutnya. Dalam menghuraikan isu jenazah janin ni, terdapat pelbagai pandangan dalam menguruskannya. Bermula dari memandikannya, menkafan dan solat keatas jenazah.. Disini ana cuba membawa pembaca semua memfokuskan solat jenazah keatas janin.


السقط يصلى عليه ويدعى لوالديه بالمغفرة والرحمة
“Bayi yang gugur (hendaklah) disolatkan ke atasnya dan didoakan untuk dua ibu-bapanya keampunan dan rahmat Allah”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Hakim. Hadis ini ditashihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh Imam az-Zahabi).

Hadis di atas adalah umum dan diperincikan oleh ulamak mengikut pandangan dan mazhab masing-masing. Menurut Imam al-‘Abdari; “Jika bayi yang keguguran itu belum berusia empat bulan, tidak wajib disolatkan ke atasnya tanpa khilaf di kalangan ulamak (yakni ijmak). Jika usianya mencapai empat bulan dan tidak bergerak (ketika gugurnya), tidak disolatkan ke atasnya mengikut pandangan jumhur ulamak. Mengikut Imam Ahmad dan Imam Daud; hendaklah disolatkan”. (Lihat; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 5, hlm. 212)

Mengikut pandangan mazhab Syafi’ie; bayi atau janin yang lahir sebelum berusia enam bulan (di dalam kandungan), jika terdapat tanda-tanda hidup (seperti menangis, bergerak, bernafas atau sebagainya), hukumnya sama seperti mayat orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan serta dikebumikan kerana telah diyakini bahawa kematiannya berlaku setelah ia hidup. Jika tidak terdapat tanda-tanda hidup, maka hendaklah dilihat; jika telah kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan), hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa perlu disolatkan. Jika belum kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin belum berusia empat bulan), maka memadai membasuhnya sahaja (untuk membersihkan dari darah), kemudian dibungkus dengan kain atau sebagainya dan ditanam. Tidak perlu dimandikan dan disolatkan.

Dalil bagi perincian mazhab Syafi’ie tersebut ialah sabda Nabi s.a.w.;

إذا استهل السقط صلى عليه وورث
“Jika bayi yang gugur bersuara atau menangis (ketika gugurnya), hendaklah disolatkan ke atasnya dan ia berhak mewarisi”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Jabir r.a.).

Berdasarkan hadis ini, bayi yang keguguran jika tidak terdapat tanda-tanda hidup (seperti menangis atau bersuara sebagaimana di dalam hadis) tidaklah disolatkan. Hadis ini mengikat makna umum hadis pertama di atas. Maka hadis pertama di atas jika dipadankan dengan hadis ini, maka ia memberi maksud; “Bayi yang gugur hendaklah disolatkan ke atasnya (jika ia bersuara atau terdapat tanda-tanda hidup)….”. (Lihat tafsiran hadis ini oleh Imam al-Minawi dalam Faidhul-Qadier, hadis no. 4492)..dipetik dari:http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/01/bayi-yang-gugur-dan-solat-jenazah.html

Persoalannya sekarang, kita disuruh mendoakan kebaikan keatas ibu-bapanya, tetapi dalam kes pembuangan janin haruskah bagi kita mendoakan kebaikan buat ibu-bapa yang sanggup membuang anaknya sendiri atau lebih aib lagi anak hasil perbuatan terkutuk sang manusia..


"Mencorak Suasana Dengan Islam"

No comments: