Monday, November 15, 2010

Langkah!


 Sebelum diri ini melangkah jauh, izinkan daku membuat satu analogi mudah bagi memberi gambaran apa yang cuba diri ini sampaikan atau luahkan. 

  Ketika kecil dulu masih teringat keriangan bersama adik-beradik dan sahabat jiran tetangga bermain di halaman rumah, dari bermain bola sehingga bemain sembunyi-sembunyi atau dalam lahjah Kelantan 'nusuk'. Terasa ruangan rumah bagai begitu luas buat kami walaupun bilangan kami hampir mencecah 15 atau 16 orang. Namun, sekarang setelah di lihat kembali tempat kami bemain dulu mungkin tidak sesuai langsung untuk bermain apa pun, iaitu dengan keluasan tempat yang agak kecil. Kenalan-kenalan lama pun yang dulunya berada satu kampung sekarang agak sukar bertemu, semuanya merantau jauh dari halaman.

  Yang cuba saya nak kaitkan dalam tulisan tidak seberapa ini adalah itulah resam dunia atau dengan kata lain sunnatullah. Jika ketika kanak-kanak halaman rumah dirasakan cukup atau muat untuk belasan orang, namun tidak buat golongan dewasa. Perbezaan ini berlaku banyak faktornya, antaranya disebabkan perbezaan jisim badan dan keluasan langkah kanak-kanak berbanding orang dewasa, inilah antara faktor yag dirasakan perbezaan perasaan memandang. Atau dengan kata mudahnya, perkembangan jasmani menyebabkan langkah kita berkembang mengikut tahap perkembangan semasa.

Kehidupan dan kaitan dengan langkah

  Secara lahiriahnya itulah teori dan praktikalnya perkembangan jasmani insan, namun kita sedar atau tidak itulah antara teori yang cukup mudah untuk kita fahami dalam kehidupan bahawa kita bukannya makhluk pasif yang perlu berada di takut lama tanpa perkembangan. Jika dulu langkah pemahaman kita terhadap sesuatu sempit maka sepatutnya sekarang sudah sepatutnya langkah kita bersesuaian dengan perkembangan jasmani dan umur kita.

 Satu analogi lain yang saya ingin bawakan di sini, jika 10 tahun lepas perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur memakan masa hampir 10 jam lebih namun sekarang boleh di pendekkan ke 6 ke 7 jam sahaja. Inilah kemajuan secara materialnya yang boleh kita lihat dengan mata kasar, keadaan ini boleh kita kaitkan dengan realiti kehidupan kita. Adakah kita masih lagi meneruskan perjalanan ini dengan jalan lama sedangkan kita boleh mencari alternatif mempercepatkan perjalanan ini. Sampai bila kita mahu meletihkan diri mengikut jalan yang lama sedang jalan singkat dan selamat ada.

Langkah dan Mahasiswa

 Terpanggil untuk mengaitkan isu mahasiswa dalam topik ini. Jika membuka kembali muka surat sejarah perkembangan ketamadunan ini maka yang kita temui adalah golongan intlektual antara legasi penting mencorak perubah sesuatu tamadun ke arah yang lebih baik. Namun adakah ini semua hanya akan tinggal di dalam lipatan semata-mata.

Adakah dengan kesibukan jadual kuliah dan kesenangan yang kita ada sekarang ini terus menjadi hijab kepada kita untuk melihat dunia luar yang menunggu kalian menabur bakti. Masyarakat yang dahagakan didikan roh Islam sebenar, kebajikan terjaga dan sebagainya.
 Sedarlah wahai sahabat, amanah bergelar ilmuan bukan sekadar mencari kesenangan diri sendiri, menjanjikan pekerjaan yang menguntungkan atau sekadar menghitung hari menghabiskan tempoh yang diberi kan ini. Namun sedarlah kalian, keberadaan kalian di menara ini adalah untuk melihat kebawah dan menilai di mana perlu di baiki dan di tambah kekurangan yang ada.

 Sedarlah wahai sahabat, di sini medan terakhir kamu untuk berlatih dan menimba segalanya sebelum melangkah dan mencurah ke dunia realiti. Jika di dunia percubaan ini kalian sudah tidak mampu melangkah, maka cukup rugilah kamu berada di sini.
 
  Sedarlah wahai sahabat, sebagai seorang muda yang di beri amanah ini jangan jadikan diri kalian ibarat bayi dalam buaian; sekejap terjaga terus di buai dan terus terlena, tetapi jadilah kalian seperti pemandu kapal terbang sekejap terlena semua merana.

 Sebagai kata akhirnya, sama-samalah kita jadikan diri, minda dan kehidupan kita terus berkembang atau terus terkehadapan sesuai dengan perkembangan masa dan umur kita. 

Tiada guna umur sudah banyak tapi pemikiran tetap sebagai kanak-kanak. 
Tiada guna belajar tinggi-tinggi jika tiada pemahaman yang tinggi. 
Tiada guna bergelar muslim jika hanya di mulut dan bukannya dalam pengamalan hidup.
Dan tiada guna hidup jika tidak mendapat berkat dan redha-NYA....
"Mencorak Suasana Dengan Islam"

2 comments:

Anonymous said...

perkongsian yang sgt menarik pok cik.. teruskan berkarya..

-perantau

pokcikmz said...

syukran....