Sunday, February 26, 2012

Seminggu Di Pulau Banggi

(Rumah Guru SK LOG TUHOG, BANGGI)

 Alhamdulillah dalam seminggu ini menyesuaikan diri di sini cukup terasa perbezaan dunia yang baru buat diri ini merantau. Baru terasa berat juga title yang diberikan oleh manusia ini. Title sebagai pendidik pelajar dan pendidik masyarakat. Mungkin sudah lama title ini berkumandang di mulut-mulut orang memanggilku dengan gelaran Ust di semenanjung, namum bagiku di tempat baru ini bukan sekadar panggilan lagi perkataan ini, yang pasti gelaran ini mengharap terjemahannya sekali dalam kehidupan bagi masyarakat sini. Penghargaan bagi masyarakat sini terhadap sesiapa yang membawa title ini cukup dirasai. Bermula dari sekecil-kecil perkara mahu ditanya kepada sesiapa yang membawa title ini, dan membuatkanku terasa sedikit berhati-hati mahu menjawab biar bersesuaian dengan pemikiran dan tahap pemahaman mereka terhadap sesuatu perkara. 

 Bagiku mungkin suasana ini tidak dirasai semasa berada di semenanjung, apa tidaknya baru sahaja diri ini melangkah ke pulau ini seminggu sudah dapat merasai berkhutbah Jumaat di depan orang kampung. Sedangkan di semenanjung hampir 25tahun diri ini membesar belum pernah diberikan kesempatan menyampaikan khutbah jumaat. 

 Di ruangan ini sebenarnya hanya ingin berkongsi beberapa gambar buat keluarga tersayang di semenanjung, khasnya buat ibu yang tersayang dan keluarga terdekat sebagai peganti diri di kejauhan ini. 

Suasana Sekolah






Kejohanan Sukan SK zon Banggi di SK Laksian

 (Persiapan sebelum bertolak)


 (Jupo Geng Klate sini, siap baru red Warrior lg)

 (Pemandangan Sekolah SK Laksian)
(Keadaan Jalan Pulang dari SK Laksian, 45minit berada atas jalan ni)


Maulud Peringkat Banggi








p/s:Banyak gambar lg yg ingin di kongsikan bersama, tetapi memandangkan line tak berapa laju...ini sahajalah termampu...

"Mencorak Suasana Dengan Islam"

Monday, February 6, 2012

Laluan Ini Pilihanku...

 J_QAF

(Pantai Tg. Aru Kota Kinabalu)

Jika berbicara berkaitan isu ini macam-macam komentar yang saya dapat, dari sudut positif dan tidak kurang juga negatif. Ada yang menyokong dan sebaliknya, bagi diri ini semua pandangan yang diberikan semuanya betul. Begitu jugalah diri ini, walaupun terselit di kalbu ini saki-baki jiwa pendidik namun tidak diketahui di mana mahu diri ini mencurahkan sedikit bakti.  

 Mungkin inilah jalannya yang telah ditentukan Ilahi, walau dulu sering terbayang betapa diri ini melihat awan  yang tinggi cantik melayang namun sering terlupa rumput dikaki yang juga ada nilaian hasilnya jika kena caranya. Secara hati kecilnya J_QAF bukanlah satu sebab utama kehadiran saya dibumi yang cukup jauh dari keluarga dan tempat tanah kelahiran. Bagi saya mungkin inilah percaturan Allah ingin menguji sejauh mana diri ini mampu mengaplikasikan apa yang dipelajari selama ini, jika dulu lidah ini cukup mudah melepaskan kalimah dakwah memberi semangat kepada pendengar, mungkin  disini tempatnya saya kotakan apa yang pernah diperkatakan ini. 

(One Borneo)

 Tugasan Guru Disini

  Apa yang ingin diri ini katakan di tempat ini terzahir lagi nilaian seorang pendidik berbanding semenanjung.  Inilah rasanya mungkin ramai para pendidik dari semenanjung ingin menghabiskan banyak masa mendidik di sini. Walau di sini masyarakatnya tidak boleh dibandingkan dari semenanjung dari segi pembudayaan ilmu agama, namun bagi diri ini suasana masyarakat di sini menggambarkan situasi berbeza pada sesetengah keadaan berbanding semenanjung. Budi bahasa dan bertegur-sapa masyarakat disini merasakan bagai jauh berbeza di semenanjung, bukan ingin membeda-bedakan keadaan namun itulah realitinya berlaku. Apakah dengan tingginya sesebuah pokok itu sampai pokok lain tidak dapat menumpang, berbanding pokok yang rendah ini saling memerlukan dikalangan mereka.

(Masjid UMS, Universiti Malaysia Sabah)

 Pengakhirannya saya cukup mengharapkan doa-doa dari sahabat-sahabat semoga diri ini dapat memaksimunkan tenaga berkhidmat dalam memberikan pendedahan ilmu Islam kepada masyarakat di sini. Semoga pentas yang Allah berikan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, mengimpikan Sabah ini suatu hari nanti tempat munculnya bendera kemenangan Islam di Malaysia...ameen....


"Mencorak Suasana Dengan Islam"  

   

 

Saturday, February 4, 2012

Jalan Sabah Sudah...


Sekadar Mahu Berkongsi Gambar Di Lapangan baru ini....






"Mencorak Suasana Dengan Islam"

Sunday, January 1, 2012

Tahun 2011, Tahun Bertatih di Dunia Realiti

(Bersama Sidi Malik, sheikh Tarikat Tijani Senegal)

        Selamat jua menghabiskan tahun 2011 ini, namun yang pasti tahun 2012 yang datang ini merupakan tahun yang pastinya lebih mencabar dalam realiti kehidupan ini. Di ruangan ini, saya cuba menyingkap kembali beberapa sketsa kehidupan diri ini dalam melayari tahun 2011 yang lepas. Memandangkan tahun 2011 lepas merupakan tahun bergelar seorang graduan. Bagi diri ini, pada tahun 2011 lepas ibarat layang yang mencari angin. Semasa ada angin boleh berterbangan indah, namun sebaliknya ketika angin tidak bertiup, hanya keyakinan kepadaNYA sahaja menjadi penawar. Di kesempatan ini saya ingin mencoret beberapa pecahan penting bagi tahun ini bermula bulan Januari sehingga Disember. Sekadar coretan buat diri ini, disamping perkongsian buat pembaca. Jauh sekali di sudut hati diharap tulisan ini tidak terbit perasaan mazmumah (wal iyazubillah.

Januari-April

        Alhamdulillah pada tempoh ini saya telah diberi peluang oleh Allah sempat berkhidmat di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan cawangan Putrajaya (JAWI) sebagai pelajar praktikal. Dalam tempoh sekejap ini banyak pengalaman dan ilmu yang baru dapat diri ini belajar. Dengan keramahan staffnya dan sikap suka membantu, diri ini terasa selesa bekerja disamping menimba pengalaman yang tidak pernah dilalui sebelum ini. 
(Bersama Staff JAWI caw Putrajya)

       Di sini saya dibahagi tugasan pada setiap unit yang berada di JAWI Caw Putrajaya. Bermula Unit Pengurusan Khariah, Unit Dakwah, Unit Pembangunan Keluarga atau Perkahwinan, Unit Penguatkuasa, Unit Pengurusan dan Unit Pendakwaan (minta maaf jika silap). Setiap unit yang diri ini lalui terdapat kenangan dan pengalaman baru yang tidak pernah diri ini lalui.

        Yang banyak memberi kesan pada diri ini dalam tempoh ini ialah dengan diberi beberapa kepercayaan memberi kaunseling rumah tangga, memberi sedikit pengisian buat golongan yang tertangkap di malam hari berdua-duan dan berkenalan dengan golongan saudara baru. Di samping pernah turut bersama memandikan jenazah di bilik mayat Hospital Putrajaya. Itulah serba sedikit pengalaman berada di JAWI Putrajaya.

Mei-Oktober

         Bermula bulan Mei 2011, maka bermulalah diri ini bukan lagi berstatus pelajar. Dalam tempoh ini sempat berkhidmat sebagai Guru penyelia KAFA Ummu Aiman cawangan Senawang, N.S. Cukup mencabar rasanya, seorang yang baru keluar ke alam reality ini telah diberi tanggungjawab sebegini. Pelbagai pengalaman pahit dan manis berkhidmat. Pengalaman berdepan dengan pelajar, ibu-bapa dan guru-guru dibawah pengawasan, di samping urusan pejabat yang terpaksa diuruskan.
 (Bersama anak didik KAFA Ummu Aiman, caw Senawang)

        Pernah ditegur dan dikomen perkhidmatan oleh ibu-bapa penjaga, kadang-kadang membuatkan diri ini resah memikirkan jalan penyelesaian. Namun semua itu terasa manis bila dapat diselesaikan. Peristiwa yang tidak dapat dilupakan apabila seorang ibu pelajar datang menanyakan perkembangan anaknya, disamping menyatakan tidak berpuas hati. Tercabar juga diri ini, satu persoalan pelik yang diaju kepada diri ini iaitu: “Ust kenapa anak saya tidak pandai ‘mengeja’ nak baca Quran?” “tapi dia boleh baca Quran”.(fikirlah ek, apa sepatutnya jawab).   

        Dalam tempoh ini jualah dapat merasa bekerja sampai tidak kenal erti letih. Apa tidaknya, dari jam 8 pagi mengajar hingga ke pukul 12 malam mengajar. Bermula 8-12 tgahhari kelas KAFA pagi, pukul 3-6petang di sambung 8.30-10.00 malam kelas mengaji Quran remaja dan 10.00-12.00 malam mengajar pelajar IPT di rumah. Fuhh!! Letih, tapi terasa terubat bila melihat perkembangan anak didik.

November- Disember

        Alhamdulillah telah dilantik berkhidmat sebagai Pembantu penyelidik di Akademi Permata Insan USIM bagi menyiapkan modul pintar Quran dan Sunnah yang akan digunakan bagi pembelajaran kanak-kanak Permata Insan. Selama 2bulan ini bagi diri ini seolah-olah mengembalikan kembali semangat mengkaji ilmu Allah yang luas ini. 

        Dalam tempoh singkat 2 bulan dapat menyiapkan tajuk-tajuk yang di amanahkan. Dengan tunjuk ajar pensyarah-pensyarah yang dulunya pernah mengajar diri ini dalam kuliah, tetapi kehadiran diri ini kali ini ibarat seperti kawan yang rapat pula dengan pensyarah-pensyarah  dalam memberi tunjuk ajar menyiapkan modul ini.

Kesimpulan

        Cukuplah rasanya sedikit coretan perjalanan diri ini dalam tahun 2011, bagi saya tahun ini adalah tahun bertatih mencari identiti sendiri di dunia realiti. Jika di alam kampus kita bebas berbicara melontar idea tetapi di medan reality ini kita bukan lagi seorang yang sekadar pandai melontar buah fikiran tetapi kita jualah pelaksana segala lontaran fikiran itu sendiri. Dan yang terakhirnya diharap kepada yang membaca makalah daif ini dapat mendoakan diri ini dibukakan rezeki olehNYA kepada diri ini bagi meneruskan lagi ‘survival’ diri ini. Buat masa ini belum tahu lagi apa yang akan diri ini lakukan bulan januari ini, memandangkan baru sahaja tamat kontrak. Hanya menunggu percaturan dariNYA dan pengharapan dariNYA..




Beberapa tarikh keramat bagi tahun 2011:
    1. 24 Julai 2011: Majlis penutup Imam Muda Qaryah JAWI
    2. 5 Oktober2011: Lulus Test lesen Kereta
            3. 24 November 2011: Abang Ngah(Akram) Kahwin
    4. 3 Disember 2011: Konvokesyen ke-9 USIM.

  Dan banyak lagi tarikh-tarikh penting tidak tercatat dalam ruangan ini.


"Mencorak Suasana Dengan ISlam"

"

Saturday, December 3, 2011

Langkahku Bermula Di sini...



 Al-Hamdulillah hari ini 3/12/2011 dapat jua diri ini merasai kaki melangkah di atas pentas mengambil skrol ijazah sarjana muda pertama, walau jika diungkitkan kembali perjalanan diri ini bermula dari kecil bukanlah seorang yang menonjol berbanding adik-beradik yang lain. Apa tidaknya setiap kali terdengar perbualan keluarga terdekat berkaitan anak-anak mungkin akan keluar nama ini, dan setiap kali keluar nama ini hanya dikaitkan sedikit perlahan berbanding adik-beradik yang lain. Namun inilah percaturan dari-NYA, mungkin berkat doa ayah, ibu, guru-guru, keluarga dan kawan-kawan, diri ini sampai jua pada hari ini.
(Pembakar semangat, doa darimu sangat diharapkan)

 Di sudut ini saya bukanlah mahu mengungkit kembali kisah silam, namun sekadar ingin mencoret di ruangan ini apa perasaan yang sedang bermain di benak fikiran pada saat ini.
 Entah kenapa di saat kawan-kawan bergembira bersama keluarga di saat mengenakan jubah kovokesyen di tubuh, namun diri ini terasa hiba dengan pelbagai persoalan bermain dibenak fikiran ini. Persoalan paling besar bermain di benak fikiran ini, adakah hari ini saya sudah dapat mengembira ibu yang tersayang atau belum, di samping kemana halatuju selepas ini, mahu sambung belajar atau mahu bekerja terus atau bekerja sambil belajar atau seumpamanya.
 
 Di tambah pula persoalan bagi mengisi fitrah insani, apabila melihat ramai kenalan datang membawa suami dan isteri di samping ramai pula menyedar kad. Jika dari dulu antara doa dikala kesunyian diri ini sentiasa mengharap kepada-NYA mempermudahkan jalan menuntut ilmu agama kepada diri ini dari peringkat Ijazah, master dan seterusnya PHD. Namun, kadang-kadang derus kehidupan ini membuatkan cita-cita ini terkadang malap dan terkadang terang kembali.
 ( Dua konvo yang berat untuk dipikul, ke dua-dua diharap dapat diterjemah ke medan realiti)

  Puas sudah bertanya dengan keluarga, pensyarah-pensyarah dan orang perseorangan berkaitan topik ini. Pelbagai respon yang dapat, ada yang cadang sambung dahulu belajar ketika muda dan tiada komitmen lain, di samping ada juga yang mencadangkan sebaliknya dengan mengisi fitrah insani dahulu baru lebih bernilai ilmu yang kita dapat. Pernah jua cuba 'servey' Universiti, tapi terlepas tarikh permohonan, mungkin bukan lagi rezeki diri ini.

 Apa-apa pun persoalan bermain, bagi saya perjalanan ini baru bermula saat ini. Masih teringat kata-kata ayhanda dekan FPQS Prof. Madya Dr. Adnan, "walau kita lari untuk sampai ke sesuatu tempoh kehidupan, kita tetap akan sampai..persoalannya apa persediaan kita untuk sampai..."

Saat ini sudah tiba dalam hidup diri ini, walau orang lain boleh memberi cadangan, namun yang melaluinya adalah diri ini. Percaturan diri ini diharap dipandu oleh-NYA yang Maha Mengetahui, yang mampu diri ini minta dari-NYA sama yang pernah dipohon oleh Saidina Ali di dalam doanya yang bermaksud: "Ya Allah, Ya Tuhanku, jika terdapat dalam diri ini taqdir yang tidak baik, maka taqdirkanlah kepadaku yang terbaik buat diri ini..."

"Mencorak Suasana Dengan Islam"

Monday, October 31, 2011

Majlis Anugerah Cemerlang Kafa dan Konvokesyen Tadika 2011



Teks Ucapan Wakil Ibu Bapa...


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Yang Dimuliakan Tuan pengerusi majlis,
Yang Dihormati, Yang Berbahagia Ust Mansor Bin Abu Bakar, Penyelia Pelajaran SAR..
Yang Berusaha, Guru Besar Maahad Ummu Aiman, Ustazah Wan Rusmayiah Bt Wan Mamat.
Ibu-bapa serta pelajar sekalian….

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan rasa syukur kepada Allah SWT, kerana pada hari yang berbahagia ini, dengan sifat al-Rahman dan al-Rahim-Nya, Allah masih mengizinkan kita semua untuk terus menggalas amanah ummat ini.

Marilah bersama kita pohon agar Allah SWT terus memberikan kekuatan kepada kita semua mudah-mudahan dengan kekuatan tersebut akan memperteguhkan semangat untuk terus merasai kecintaan kita kepada Islam ini umumnya dan pendidikan Islam khasnya.

Yg berbahagia Ust, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Pertama kalinya saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada warga Maahad Ummu Aiman kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk memberi sepatah dua kata mewakili ibu-bapa penjaga dalam majlis tahunan ini yang menjadi penantian buat pelajar dan ibu-bapa pada setiap tahun.

Yg berbahagia Ust, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah, sekalian,

Kami di pihak ibu-bapa mengharapkan KAFA UMMU AIMAN terus memperkasakan lagi pendidikan Islam peringkat sekolah rendah ini, dari segala aspek semoga masyarakat di luar sana tertarik menghantar anak mereka ke sini demi kelangsungan pemahaman Islam dalam masyarakat setempat. Dan diharap juga dengan semaian dan pendedahan awal cara hidup Islam di dalam diri anak-anak kita ini akan menjadi panduan dalam hidup mereka nanti di dalam mengatur perjalanan hidup mereka di hari depan.

Yg berbahagia Ust, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
,
Akhir kata saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar yang dapat menerima hadiah pada hari ini. Dan kepada yang tidak berkesempatan untuk tahun ini, boleh mencuba menanam cita-cita bermula saat ini supaya tahun hadapan akan termasuk dalam kelompok yang akan naik pentas ini.

Sekian dahulu dari saya,

Wabilahittaufiq wal hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…

Disampaikan oleh;En. Mohd Zuhaidil




"Mencorak Suasana Dengan ISlam"

Thursday, October 13, 2011

Survival Daie Semasa

1. Pelajar Maahad Ummu Aiman cawangan Senawang

 




 2. Hari Keluarga Pengurusan Tertinggi dan Guru-Guru Maahad Ummu Aiman di Port Dickson




3. Rembau 6/10/2011(panaskan badan)


4. Lawatan ke Balai Polis Seremban 2


p/s: Cukuplah rasanya memaparkan gambar-gambar ini semua sebagai menggambarkan apa yang sedang bermain di benak fikiran ini buat tatapan bersama. 
"Keberadaan Kita dalam sof ini bukan menunjukkan kekuatan dan kelebihan diri, namun keradaan dalam sof ini adalah untuk mengajar erti kebersamaan..."

"Mencorak Suasana Dengan Islam"